UMAT ISLAM JANGAN TERLALU EMOSI – MUFTI

SHAH ALAM – Umat Islam di negeri ini dinasihati agar tidak terlalu emosi, sebaliknya bertolak ansur berhubung tindakan Kerajaan Negeri Selangor meluluskan projek ternakan babi berkelompok di Sepang bernilai RM100 juta. Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata isu ladang babi tidak perlu diperbesar-besarkan kerana dalam konteks Islam, kita disarankan agar menjaga kepentingan bangsa lain untuk keharmonian serta kesejahteraan masyarakat setempat.

 

“Sebagai umat Islam yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum, kita seharusnya menjaga hati umat Islam dan bukan Islam supaya tidak berlaku sesuatu yang boleh memecahkan perpaduan antara kaum terutamanya perkara yang melibatkan perasaan mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

Kelmarin, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan projek penternakan babi moden bernilai RM100 juta di Ladang Tumbuk, Mukim Batu, Kuala Langat memandangkan kawasan tersebut telah menjadi tapak utama ladang babi di negeri ini.

Menurut Tamyes, rakyat perlu mengambil kira matlamat kerajaan negeri dalam melaksanakan projek berkenaan untuk kepentingan bersama terutama bagi bagi memudahkan kawalan dan penyeliaan ternakan itu yang kini berselerak.

 

“Jika matlamat kerajaan negeri adalah untuk keperluan masyarakat bukan Islam, kita tidak seharusnya menyekat hasrat itu. Ini merupakan kepentingan bagi mereka. Mereka (golongan bukan Islam) mempunyai hak untuk menikmati keperluan tersebut. Masing-masing mempunyai hak mereka sendiri,” katanya lagi.

 

Tambah beliau, walaupun perkara ini menjadi sensitif pada sesetengah pihak kerana masing-masing beranggapan cadangan berkenaan akan memberi kesan negatif seperti pencemaran yang berlaku sebelum ini kepada mereka namun secara saintifik ia mendatangkan faedah kepada semua pihak terutama kepada penternak terbabit.

 

“Projek ini boleh dilaksanakan sekiranya diuruskan dalam keadaan bersih seperti yang dibuat di negara Denmark dengan menjadikan kumbahan serta sisa-sisa najis haiwan berkenaan sebagai baja serta tidak melibatkan kawasan berhampiran penduduk terutamanya masyarakat Islam kerana akan menimbulkan perkara yang tidak diingini.

 

“Jika perkara sebegini tidak berlaku, tentu masyarakat setempat termasuk umat Islam dapat menerima pelaksanaan projek ini dengan baik,” ujarnya.

 

Beliau turut menasihati kepimpinan negeri agar melaksanakan segala program dengan dengan adil dan saksama di samping mengambil kira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor.

 

“Walaupun isu ini terlalu sensitif di kalangan umat Islam, tidak salah jika kita bertolak ansur dan cuba memahami sesuatu itu dengan rasional,” katanya.

 

Kelmarin, Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, turut bersetuju tindakan kerajaan negeri Selangor meluluskan projek ternakan babi berkelompok kerana bertujuan untuk menyatukan semua ladang ternakan haiwan itu.

 

Memetik laporan dari sebuah akhbar harian, beliau dilaporkan berkata tindakan berkenaan adalah salah jika ia bertujuan untuk menyumbang kepada kepesatan industri ternakan haiwan berkenaan yang jelas salah di sisi agama.

 

“Sebaliknya jika niat mereka (kerajaan Selangor) ingin memelihara alam sekitar dengan menyatukan semua ladang ternakan itu di Selangor, maka ia boleh diterima kerana dapat mengelak pencemaran berlaku.

 

“Oleh kerana projek ini hanya untuk bekalan domestik, mungkin jumlahnya tidak begitu besar dan boleh dikawal sekiranya ia benar-benar bukan untuk dieksport dan dengan niat menjaga persekitaran,” katanya sebagaimana dilaporkan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: