ISYTIHAR PELUK ISLAM – PARA ULAMA MINTA KAJI SEMULA

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula cadangan mewajibkan seseorang memaklumkan kepada keluarga mengenai hasrat memeluk Islam kerana ia bertentangan dengan hak kebebasan beragama individu. Bagi Ahli Majlis Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tan Sri Abd. Kadir Talib, individu terbabit sepatutnya diberi kebebasan untuk memaklumkan status kepada ahli keluarga.

“Jika kita mewajibkannya, ia akan menyukarkan mereka kerana mungkin memerlukan masa terlebih dahulu memandangkan baru sahaja memeluk Islam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi mengenai peraturan itu atas alasan mengelak masalah apabila mereka meninggal dunia tanpa diketahui status agamanya oleh keluarga masing-masing.

Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria berpendapat, syarat itu boleh dikecualikan jika ia boleh menimbulkan masalah keselamatan dan nyawa.

“Memang mereka perlu mengisytiharkan status agama masing-masing kepada ahli keluarga, tetapi ia boleh dikecualikan jika ada ancaman yang melibatkan keselamatan,” ujarnya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid juga bersetuju cadangan itu dikaji balik kerana khuatir implikasi negatif terhadap golongan mualaf.

Bernama pula semalam melaporkan, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berharap peraturan itu tidak dibuat tergesa-gesa.

“Saya tidak setuju sama sekali jika peraturan itu turut memasukkan perkara yang mewajibkan mereka memohon izin keluarga,” katanya dengan menambah, ia boleh membantutkan hasrat mereka untuk memeluk Islam kerana bimbang tentangan keluarga.

Katanya, mereka telah dewasa dan ada hak untuk memeluk Islam tanpa perlu izin keluarga.

Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia, Lt. Suhaimi Mohamad, pula berkata, pengalaman perebutan menguruskan jenazah pendaki Gunung Everest pertama negara, Allahyarham M. Moorty atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah selama sembilan hari pada Disember 2005 membuktikan betapa pentingnya keluarga dimaklumkan apabila seseorang itu memeluk Islam.

Bagaimanapun katanya, di dalam tentera, semua urusan termasuk pertukaran agama dibuat dengan teliti dan direkodkan supaya sebarang masalah dapat diatasi dengan cepat.

“Tidak timbul masalah sama ada keluarga setuju atau tidak dengan hasrat anggota keluarga mereka hendak menerima Islam kerana dalam perlembagaan sendiri secara terang sudah menyebut yang seseorang itu boleh membuat keputusan sendiri bila dia mencapai umur 18 tahun.

“Matlamat mengisytiharkan langkah hanyalah sebagai menghormati ibu bapa,” katanya.

Di Kota Kinabalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok pula menyifatkan peraturan itu satu permulaan yang baik kepada hubungan antara agama.

Beliau berharap ia dapat disegerakan bagi menangani banyak masalah yang timbul daripada tindakan bukan Muslim yang memeluk agama Islam tanpa mengisytiharkannya kepada keluarga.

(Petikan daripada Kosmo Online 12 April 2008)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: