PUM Bimbang Kredibiliti Sijil Halal Terjejas

PUTRAJAYA 18 April – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bimbang kredibiliti pensijilan halal yang sebelum ini di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terjejas apabila ia diserahkan kepada Halal Industry Development Corporation Sdn. Bhd. (HDC).

Setiausaha Agungnya, Dr. Roslan Mohd. Nor berkata, sebarang langkah bagi mengubah bidang kuasa melibatkan hal ehwal Islam termasuk pensijilan halal adalah sesuatu yang serius dan perlu dikaji semula.

Menurutnya, PUM merasakan pensijilan halal adalah hak mutlak badan-badan Islam yang berkuasa dan mengendalikan hal ehwal Islam di Malaysia seperti Jakim.

”Bagi kami, pemberian hak pensijilan kepada badan lain, lebih-lebih lagi institusi yang cenderung kepada aspek komersial semata-mata, dikhuatiri akan mengundang keraguan dan implikasi serius terhadap kepentingan umat Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan memindahkan bidang kuasa mengeluarkan pensijilan halal daripada Jakim kepada HDC.

Proses pemindahan bidang kuasa itu turut melibatkan aspek penguatkuasaan, promosi, pengeluaran sijil, pameran, pembayaran dan pusat sehenti yang kini diletakkan sepenuhnya di bawah HDC.

Sebelum ini, Jakim membangunkan Standard Halal Malaysia (MS 1500:2004) bagi makanan halal membabitkan pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan bagi semakan kali pertama.

Logo halal secara standard yang dikeluarkan oleh Jakim itu diguna pakai oleh jabatan agama Islam negeri bagi mengeluarkan pensijilan halal di negeri terbabit.

Menurut Roslan, semua pihak perlu mengambil langkah cermat dan berhati-hati terhadap perkara halal dan haram terutama melibatkan industri makanan kerana ia membabitkan soal integriti serta maruah umat Islam.

”Kita tidak mahu pensijilan halal Malaysia akan diragui kelak kerana dikhuatiri atas alasan kepentingan ekonomi, badan seperti HDC tidak mampu mempertahankan kepentingan dan sensitiviti umat Islam.

”Kita juga khuatir syarikat gergasi makanan akan mengambil kesempatan atas keadaan ini,” katanya.

Bagi PUM, kata beliau, pengesahan status halal sesuatu produk mesti dilakukan oleh badan Islam yang mempunyai kuasa tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan komersial semata-mata.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: