FIQH SIASAH TANPA NEGARA ISLAM

Oleh Muhammad Abu Zahra

Kebanyakan perbincangan para ulama khususnya ulama silam mengenai Fiqh Siyasah berkisar tentang bagaimanakah pentadbiran sesebuah negara menurut model negara yang didirikan oleh Rasulullah saw dan para khulafa selepas baginda.

Sekiranya model itu diterjemahkan ke dalam bahasa politik moden, Fiqh Siyasah tersebut mengupas tentang bagaimanakah pentadbiran sesebuah Negara Islam.

Kupasan tentang pentadbiran Negara Islam itu bermula daripada mengupas tentang definisi Negara Islam sehinggalah kepada kewajipan jihad untuk mempertahankan kedaulatan. Demikianlah yang banyak tertulis dalam kitab-kitab turath seperti al-Ahkam al-Sultaniyah, Siyasah al-Syari’yah dan lain-lain.

Dalam konteks masa kini, selepas keruntuhan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924, para ulama khususnya para ulama haraki telah menulis pula satu lagi bentuk gerakan siyasah ketika mana tiadanya sebuah Negara Islam. Kupasan tentang Fiqh Siyasah dalam konteks itu lebih menumpukan kepada pergerakan politik yang dilaksanakan oleh Gerakan Islam dalam usaha membebaskan tanahair daripada penjajah dan berusaha untuk mendapatkan kekuasaan bagi melaksanakan tuntutan Islam dalam bernegara. Kupasan tersebut merupakan satu ijtihad besar demi untuk melangsungkan Fiqh Siyasah ketika tanpa kuasa politik. Kupasan tentang Fiqh Siayasah seperti ini banyak didapati dalam karangan ulama-ulama Gerakan Islam seperti Said Hawa, Fathi Yakan, al-Maududi dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun di penghujung abad ke 20 dan awal abad ke 21 ini menyaksikan pula keperluan kepada satu perkembangan baru Fiqh Siyasah. Pada ketika ini perbincangan Fiqh Siyasah seharusnya pula ditumpukan kepada pentadbiran negara sebelum kewujudan Negara Islam. Dalam erti kata yang lain, perbincangan Fiqh Siyasah yang baru ini adalah pertengahan antara Fiqh Siyasah tentang pentadbiran Negara Islam dan Fiqh Siyasah yang dilaksanakan oleh Gerakan Islam. Kemenangan Gerakan Islam di beberapa negara, khususnya yang terbaru di Malaysia memperlihatkan bahawa memiliki kuasa politik belum tentu mengizinkan Gerakan Islam untuk melaksanakan sebuah Negara Islam.

Situasi seperti ini sememangnya tidak begitu dijangka kerana sebelum ini kebanyakan Gerakan Islam begitu optimis Negara Islam akan tertegak selepas memperolehi kuasa politik. Fiqh Siyasah dalam konteks situasi seperti ini sudah tentulah tidak menuruti sepenuhnya model negara yang didirikan oleh Rasulullah saw dan khulafa selepasnya. Demikianlah juga, Fiqh Siyasah pada situasi ini tidak sekadar pergerakan politik yang dilaksanakan oleh Gerakan Islam yang tidak mempunyai kuasa politik seperti sebelum ini. Fiqh Siyasah model ini mengambil amalan-amalan politik yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw sebelum Hijrah dan prinsip-prinsip pentadbiran negara oleh Rasulullah saw selepas Hijrah.

Sebenarnya dalam Sirah Rasulullah saw terdapat satu pentunjuk yang cukup penting menjelaskan tentang model Fiqh Siyasah ini. Sebelum Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, baginda terlebih dahulu mengarahkan para sahabat berhijrah ke Habsyah. Penghijrahan ke Habsyah dilakukan dua peringkat yang pertama diketuai oleh Uthman Bin Maz’un (setengah mengatakan Uthman Bin Affan) dan peringkat yang kedua diketuai oleh Jaafar Bin Abi Talib. Matlamat berhijrah ke Habsyah ini yang paling utamanya ialah dakwah dan siyasah, bukan sekadar menyelamatkan diri dari seksaan. Kalangan mereka yang berhijrah ini bukan dari kalangan mereka yang ditindas oleh pembesar musyrikin Quraysh.

Yang paling menarik menurut satu riwayat yang kuat, Rasulullah saw telah mengarahkan para sahabat untuk melaksanakan Solat Jenazah ghaib ketika kemangkatan Najaashi pemerintah Habsyah. Riwayat ini secara langsung menjelaskan bahawa Najaashi adalah seorang muslim kerana Rasulullah saw melakukan Solat Jenazah ke atasnya. Di sini timbul persoalan sekiranya Najaashi seorang muslim, mengapa sebagai pemerintah Habsyah beliau tidak melaksanakan pemerintahan menurut model Negara Madinah? Sebenarnya banyak lagi persoalan-persoalan yang boleh ditimbulkan tentang peristiwa Sirah berkaitan dengan Habsyah ini, sehingga menjadi kewajipan kepada para ulama haraki masa kini untuk menerokainya.

Disebabkan terdapat Gerakan Islam hari ini yang telah meraih kuasa politik, tetapi masih terbatas kekuatannya untuk melaksanakan Negara Islam sebenarnya, maka model Negara Habsyah di bawah Najaashi ini sangat menarik untuk dikaji. Dalam riwayat Sirah dan Hadith sememangnya terdapat beberapa petunjuk tentang model Negara Habsyah ini, antara yang terpentingnya memberi penekanan kepada pelaksanaan tanggungjawab Islam secara individu dan keluarga terlebih dahulu, manakala menekankan prinsip keadilan sosial dalam konteks tanggungjawab masyarakat dan negara. Model ini boleh digabungkan pula dengan amalan-amalan politik Rasulullah saw sebelum berhijrah ke Madinah.

Menyedari hakikat tersebut, sebagai sebuah Gerakan Islam, PAS perlu melakukan usaha untuk menerokai Fiqh Siyasah seperti yang dikemukakan. Cita-cita melaksanakan Negara Islam sememangnya telah termaktub dalam perlembagaan PAS yang tidak mungkin akan berubah. Bagaimanapun pada hari ini, meskipun telah mempunyai sedikit kuasa politik pelaksanaan Negara Islam itu masih agak jauh. Malah sekiranya Pakatan Rakyat dapat memerintah Kerajaan Persekutuan sekalipun masih banyak halangan ke arah pelaksanaan Negara Islam yang sebenar. Oleh sebab itu, persediaan untuk menerokai Fiqh Siyasah sebagaimana model Habsyah ini sudah seharusnya dimulakan oleh PAS.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: