Hanya Islam sebagai penyelamat Ketuanan Melayu – Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata hanya melalui Islam sahaja maka bangsa Melayu dan ketuanannya akan terselamat dari apa jua cabaran yang menimpa khususnya yang melibatkan senario politik terkini dalam negara.

Kata Ustaz Hadi, ketuanan Melayu akan gagal sekiranya prinsip tersebut ditegakkan dan digerakkan melalui semangat nasionalisma yang fanatik serta ideologi yang bersifat chauvinisme termasuk taksub kepada bangsa tertentu.

“Yang menyelamatkan Melayu adalah Islam iaitu agama bagi orang Melayu. Melayu tak dapat menyelamatkan melayu.

“Kalau Melayu bersama dengan Islam bukan sahaja Melayu selamat bahkan orang bukan Melayu dan semua bangsa juga selamat sebab proinsip keadilan Islam yang menyeluruh,”jelasnya.

Katanya, merujuk kepada sejarah Islam, Nabi Muhammad s.a.w juga tidak menyelamatkan bangsa Arab dengan falsafah atau peraturan bangsa Arab tetapi dengan agama Islam.

“Semua amalan jahiliyah dan kezaliman Arab mesti dihapuskan dan begitu juga dengan jahiliyah Melayu sesama bangsa yang lain mesti diketepikan,” kata Ahli Parlimen Marang itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan para wartawan di ruang lobi Parlimen sejurus selepas menyertai sesi perbahasan pagi tadi.

Ustaz Hadi adalah antara ahli Parlimen yang ditunggu oleh para wartawan dan menjadi tumpuan ramai termasuk tidak lepas daripada lensa kamera yang merakam suasana Parlimen hari ini.

Sebelum soalan diajukan Ustaz Hadi telah disapa secara ramah oleh bekas Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri S Samy Vellu yang secara bersahaja berkata kepada Presiden PAS itu,”Saya sudah orang biasa.”

Dalam sidang dewan tadi Ustaz Hadi turut mengemuka soalan tambahan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung isu kecekapan perancangan kerajaan dalam memperbaiki kehidupan rakyat.

Sidang Parlimen hari ini yang menyaksikan kesemua ahli Parlimen memenuhi ruang dewan dan menjadi tumpuan orang ramai khususnya pihak media yang sejak dari awal pagi sudah mula ‘berkampung’ di sekitar bangunan Parlimen bagi menyaksikan ‘kehangatan’ suasana sidang yang ditunggu ramai.

Dalam pada itu Ustaz Hadi mengulas janji kerajaan yang akan bekerjasama dengan pembangkang untuk menangani masalah kenaikan harga barang yang menyulitkan rakyat.

“Kita menerima cadangan tersebut dengan sikap positif. Kita pernah meyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN) sewaktu zaman Tun Mahathir.

“Banyak buat keputusan dan resolusi yang bernas tetapi malangnya tak dilaksanakan dengan sepenuhnya dan PAS keluar daripada MPEN,” katanya.

Beliau menggesa supaya pihak kerajaan mengambil pengajaran daripada kelemahan MPEN untuk membuat suatu pembentukan atau jawatankuasa yang berbeza untuk menghadapi cabaran terkini.

Beliau sempat ditanya berhubung isu hak keitimewaan orang Melayu yang dilihat semakin terhakis akibat situasi politik negara yang sudah berubah.

“Hak keistimewaan Melayu bergantung kepada kedudukan orang Melayu sebagai golongan yang miskin dan dalam masa sama kita tak boleh mengabaikan kaum lain yang miskin.

“Sekiranya kedudukan orang Melayu sudah berubah, maka orang Melayu tidak boleh mengatakan berhak atas segala-galanya dan mengenepikan orang lain,” katanya dan menyatakan bahawa masa depan orang Melayu terletak kepada satu kuasa politik sahaja iaitu Islam. – mks.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: