PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN : SUATU PERBINCANGAN ASAS

Oleh Anwar Ridwan Zakaria
Akademi Pengajian Islam, UM

Pendahuluan

Syariat Islam didirikan di atas 3 asas utama yang melahirkan seorang muslim mukmin yang sempurna. Asas ini dijelaskan dalam hadith Jibril iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Dalam ketiga-tiga asas tersebut, Iman merupakan perkara yang terpenting. Hilangnya status tersebut akan menyebabkan hilangnya hak keistimewaan sebagai seorang muslim. Bukan itu sahaja, ianya juga akan menggugat perkahwinan, warisan dan lain-lain yang berkaitan. Lebih memburukkan lagi tiadanya asas Iman akan menyebabkan semua amalan ditolak dan tidak diterima seterusnya tidak dapat memasuki syurga Allah swt.Perbincangan batas-batas iman dan kufur ini agak sensitif bagi sesetengah orang. Ini kerana ia melibatkan sesetengah keyakinan, amalan dan budaya yang telah menjadi darah daging umat Islam khususnya umat Melayu yang sangat terpengaruh dengan budaya Hindu dahulunya. Perbincangan ini diharap dapat menghindarkan umat Islam daripada tergelincir daripada batas-batas iman dan kufur dan bukan menjadi polemik untuk melahirkan perpecahan masyarakat dan seumpamanya.

Pembahagian Manusia

Secara umumnya, manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu mukmin dan non-mukmin. Golongan yang tergolong di dalam mukmin ini terbahagi kepada tiga iaitu muhsin, muqtasid dan zalim linafsih. Selagi seseorang itu tidak melanggar batas iman dan juga kufur maka ianya masih dikira mukmin walaupun terdapat kekurangan dan kezaliman pada dirinya sendiri. Apabila batas-batas iman ini dilanggar, secara automatik terkeluarlah seseorang itu daripada lingkungan mukmin.

Asas-Asas Batas Iman dan Kufur

Iman secara umumnya memberi erti percaya dan yakin dengan hati, membenarkan dengan kata-kata dan beramal dengan segala apa yang datang daripada Allah melalui utusanNya Nabi Muhammad (saw). Dalam kata lain keimanan itu didirikan dengan 3 aspek iaitu aspek kepercayaan dan keyakinan, aspek ucapan dan perkataan dan aspek amalan dan perbuatan. Tiga aspek inilah yang menjadi jalan untuk seseorang itu terkeluar daripada lingkungan mukmin. Mana-mana satu daripada 3 ini jika tergelincir akan menyebabkan seseorang itu boleh kehilangan statusnya sebagai seorang mukmin.

Batas-Batas Iman dan Kufur

Batas-batas iman dan juga kufur ini tertumpu kepada 2 aspek yang menjadi asas dalam 2 kalimah syadah. Beriman dengan 2 asas ini menjadi mukmin manakala mengingkarinya akan menyebabkan seseorang itu menjadi kufur.

a.Beriman Kepada Allah

Ada 4 aspek yang perlu diimani secara total oleh seseorang mukmin iaitu keujudan Allah, RububiyyahNya, UluhiyyahNya dan Asma’ wa SifatNya. Mengingkari mana-mana satu aspek ini akan mengeluarkan seseorang dari lingkaran keimanan.

  1. Keujudan Allah ; sesiapa yang mengingkari keujudan Allah swt diatas maka terkeluar daripada iman.
  2. Rububiyyah ; sesiapa yang mengingkari kekuasaan, pentadbiran, penciptaan, kemanfaatan, kemudaratan dan pemilikan hanyalah milik Allah swt maka terkeluar dari iman.
  3. Uluhiyyah ; sesiapa yang mengingkari Allah sebagai satu-satunya zat yang dihalakan ibadah, doa, pengharapan dan kecintaan maka terkeluar dari iman.
  4. Asma’ wa Sifat ; sesiapa yang mengingkari Allah mempunyai nama-nama dan sifat-sifat kesempurnaan maka terkeluar dari iman.

Mana-mana iktiqad (keyakinan dan kepercayaan), perkataan dan perbuatan yang mengingkari atau memberi maksud mengingkari aspek-aspek diatas secara automatik terkeluar dari batas-batas iman.

b.Beriman Kepada Nabi Muhammad saw

Ada dua asas penting yang perlu diimani terhadap Baginda saw iaitu peribadi Nabi sebagai utusan dan khabar serta ajaran yang dibawa dan disampaikan oleh Baginda saw. Mengingkari mana-mana aspek ini akan mengeluarkan seseorang itu dari lingkaran keimanan.

  1. Peribadi Nabi saw ; pengingkaran dan penghinaan terhadap peribadi mulia Nabi saw samada peribadi kemanusiaan atau kenabian boleh menyebabkan tergelincir dari batas keimanan. Termasuklah di dalam kategori ini orang yang mengingkari dan mengihina fatanah (kecerdikan), amanah, sidiq (benar) dan tabligh (sempurna penyampaian) Nabi saw.
  2. Khabar dan Ajaran Nabi saw ; pengingkaran dan penghinaan terhadap apa yang disampaikan oleh Baginda saw samada khabar, ajaran dan sunnah boleh menyebabkan tercicir dari batas keimanan. Termasuk di dalam kategori ini rasa ragu dan tidak puas hati terhadap ajaran dan khabar dari Nabi saw samada al-Quran mahupun perkara-perkara samiyyat (tidak nampak dengan mata kasar dan tidak boleh difikirkan dengan aqal.

Mana-mana iktiqad (keyakinan dan kepercayaan), perkataan dan perbuatan yang mengingkari atau memberi maksud mengingkari aspek-aspek diatas secara automatik terkeluar dari batas-batas iman.

Berawas dan Berhati-Hati

Sebagai seorang mukmin, kita perlu sentiasa berhati-hati di dalam segala tindak-tanduk seharian agar tidak terkeluar dari lingkaran mukmin. Begitu juga seorang mukmin mesti berhati-hati di dalam melabel dan menghukum kekufuran seseorang. Ini kerana di dalam Islam terdapat perbezaan yang yang diharuskan. Sebagai kesimpulan, perlunya umat Islam sentiasa merujuk kepada para guru dan ulamak yang muktabar didalam memastikan keimanan kita. Pastikan setiap perkara yang diberikan oleh guru tersebut disertakan dengan dalil dan hujjah serta kaedah yang benar berasaskan metodologi pengajian Islam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: