Coretan Ust Nik Abduh ; Apa Alternatif PAS?

Salam Kamunting,

Sekarang, apa yang anda fikir mengenai Pakatan Rakyat, masa depannya sesudah kejadian ‘dah dijangka’ oleh sesetengah pihak yang telah mencemarkan program himpunan sejuta rakyat di Kelana Jaya itu? Saya hadir bersama rombongan daripada pemuda PAS Pengkalan Chepa. Kami sampai jam 12 tengahari dan balik jam 2.30 petang. Belum sempat buka pintu kereta, dua orang berbaju merah ‘PROTES’ yang saya tak kenali terus protes lewat cermin kereta.“Kami nak balik. Ramai yang dah angkat kaki. Macam karnival minyak naik.” Keluh mereka, menyesal dengan perjalanan program yang diprotes ramai, terutama daripada penyokong PAS.

Dari luar stadium saya memerhati. Bila kawan – kawan ajak balik, saya akur. Tubuh dan hati saya tak kepingin untuk masuk stadium. Saya rasa serba lemah. Sepatutnya saya kena kuat hari itu seperti orang lain.

Antara orang yang lebih kuat sedikit ialah Ustaz Riduan Mohd Nor. Tapi kuatnya macam orang lemah juga sebab biasanya dia mesti terlalu kuat untuk program sebegini. Dia nampak terkial – kial mencari rentak jihadnya di luar stadium. Tak masuk line. Akhirnya, kami keluar bedal nasi arab kat Jalan Ampang.

Selepas menghantar beliau balik ‘berehat’ seketika di rumahnya di Gombak, kami terus pulang. Dalam perjalanan, saya menghubungi kawan – kawan yang lain. Huh, semuanya mendahului saya, balik lebih awal lagi. Paling teruk, Ustaz Norazli Taliban. Belum saya sampai, beliau dah cau..

Sekarang, apa anda fikir mengenai Pakatan Rakyat?

Saya rasalah, kita semua sedang membaja tanda soal dalam kepala masing – masing. Adakah hari esok untuk Pakatan Rakyat? Cerahkah hari esok untuk Pakatan Rakyat?

Semasa saya memerhati dari luar stadium, sesuatu yang telah lama membengkak di jiwa saya semacam pecah hari itu. Ia menjadi bengkak kerana saya lama menahan dan menyembunyikannya. Mahu cakap, tapi tak tercakap. Mahu tulis, tapi tak tertulis.

Semuanya kerana saya mahu berhikmah dalam berdakwah. Saya fikir, hikmah adalah pada menahan dan menyembunyikannya.   

Kejadian protes terhadap ‘PROTES’ di sebelah petang hari itu memuncak di hati saya. Saya baru tadi melihat rakaman kejadian tersebut di ‘YouTube’. Dalam kecoh dan baling – membaling itu, saya dengar laungan takbir dengan jelas. Tiba – tiba air mata saya bertakung di kelopak. Saya tahu mereka marah kerana Allah. Mereka marah kerana agama mereka dicabar dari tempat yang tinggi. Dari atas pentas yang dibina untuk protes kezaliman dan keangkuhan.

Anda mahu berfikir pasal hikmah dalam berdakwah? Sebelum anda merumus, saya yakin pahala telah mencurah – curah untuk mereka itu. Yakin pada janji tuhan saya.

Selepas pilihan raya lepas, beberapa pemimpin PAS mencanang amaran kepada mana – mana individu atau kumpulan dalam parti agar menjauhi perbincangan dengan UMNO untuk berkerja sama atau membentuk pakatan antara PAS-UMNO. Paling berat, mereka mungkin dipecat!

Alasan utama, kita jangan mengkhianati rakyat. Rakyat mahu kita tumbangkan UMNO-BN dan pemerintahannya. Berkerja sama dengan UMNO adalah jenayah terhadap kehendak rakyat. Atau, bagi sesetengahnya, kehendak dan hukum ugama juga!

Semua akur nampaknya. Saya pun akur. Tetapi, rupanya ia membengkak di hati. Akhirnya, di luar stadium di Kelana Jaya hari itu ia pecah. Pecah saja, taklah meletup. Bila pecah, baru saya sedar, sebenarnya saya tidak akur, atau hanya akur dalam terpaksa. Dipaksa oleh rasa hikmah dalam berdakwah.

Begini, saya tuliskan untuk anda. Kemudian, anda fikirlah sendiri. Sendiri fikir, kalau anda jenis pemalas untuk bincang – bincang. Apa jawaban yang anda mampu berikan?

1) Betulkah perbincangan dengan UMNO perlu ditutup? Mudahnya, UMNO adalah musuh Islam. Adakah kita dilarang berbincang dengan musuh?

2) Adakah berbincang dengan UMNO hanya bererti masuk BN? Maka ia jadi haram dan dipatuk kali kedua dari lubang yang sama?  Tak mungkinkah perbincangan PAS-UMNO berlaku tanpa perlu PAS masuk BN?

3) Betulkah membelakangi kehendak rakyat adalah mengkhianati rakyat?

4) Antara strategi mengumpan musuh untuk melompat parti dan strategi memperkukuh kekuatan Pakatan Rakyat mana lebih penting sebenarnya? Anda dapat segera ketika anda lemah atau anda dapat lewat tetapi dalam gagah, mana lebih perlu diutamakan?

5) Kedudukan Islam dalam Pakatan Rakyat. Betulkah telah lumat dibincangkan? Atau, kita bincang kemudian selepas Pakatan Rakyat ambil alih kuasa melalui aksi lompat? 

Untuk yang pertama, anda akan berhadapan dengan keizinan Allah untuk berbincang dan berdamai dengan musuh ketika mereka datang melukut dalam lemah. Anda akan ditanya, mengapa menutup apa yang dibuka oleh Allah?

Jika anda lemah memahami maksud izinNya itu, jangan mudah menghukum orang sebagai khianat!

Untuk yang kedua, bagaimana jika perbincangan PAS-UMNO menghasilkan natijah yang lebih menguntungkan Islam dan dakwahnya berbanding tawaran untuk Islam dalam Pakatan Rakyat? Anda akan ditanya, Mana lebih menyelerakan iman, Islam atau Pakatan Rakyat?

Jika anda fikir tawaran PR untuk Islam ‘confirm’ lebih baik dari tawaran lawannya, anda pasti kena fikirkan kembali, sebab jaminan untuk Islam didalamnya adalah ‘belum jelas’ hebatnya, sementara tawaran dari UMNO untuk Islam belum pun diusahakan lagi lantaran ditutup terus perbincangannya.. 

Jika anda kata, UMNO sah penipu, anda akan ditanya, adakah penipu mesti menipu selamanya dan adakah Pakatan Rakyat belum pun menipu sesama sendiri?

Untuk yang ketiga, anda akan ditanya, adakah mengkhianati rakyat bererti mengkhianati ugama? Adakah PAS akan membuat pilihan yang lebih bodoh daripada rakyat? Dulu PAS bebas berkeputusan. Adakah kini PAS membiar diri diikat rakyat dan kehendaknya.

Anda akan ditanya, PAS untuk Allah atau PAS untuk rakyat. Yang pertama adalah demokrasi cara Islam, manakala yang kedua adalah demokrasi barat jahiliyyah. Adakah PAS kembali kabur?

Rakyat kena akuri PAS atau PAS kena akuri rakyat? PAS penjulang kebenaran atau rakyat penjulangnya?

Untuk yang keempat, anda akan berhadapan kata – kata hikmat Melayu ini, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Pakatan Rakyat ‘confirm’ dapat lima negeri dan ‘confirm’ belum memiliki Malaysia.

Anda akan diasak dengan pertanyaan, adakah 5 negeri ini dijamin kekal dan stabil selama – lamanya sehingga anda jadi beriya – iya menanti – nanti kerajaan menanti Pakatan Rakyat? Adakah sejarah di Terengganu tak mungkin berulang lagi? Adakah negeri – negeri Pakatan Rakyat hari ini telah lebih gagah daripada negeri Terengganu hari itu?

Untuk soalan kelima, anda akan ditanya, tidakkah Islam dalam kerajaan menanti telah tercermin dalm kerajaan Pakatan Rakyat hari ini? Jika begitu, nampaknya perjalanan masih jauh.

Jika masih jauh, bererti ia masih belum boleh selesai dengan mudah. Perjuangn Islam terus berjalan tanpa hujung masa yang pasti lagi. Jika begitu, mengapa meminggir musuh yang tak pun dipinggir oleh ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam pada hari perjanjian Hudaibiyah itu?

Saya lakarkan 5 persoalan dan klunya yang perlu diperhatikan.

Adakah anda fikir saya menyalahi kepimpinan PAS?

Saya kata tidak! Jika ayahanda menolak PAS menyertai BN, saya yang pertama menyokongnya. UMNO masuk PAS, ya.

Persoalan saya adalah fundamental. PAS perlu sentiasa gagah dengan kebenaran. Kebenaran adalah jamaah walau kita berseorangan. Kebatilan adalah dagang walaupun dikerumuni sejuta manusia.

Mengkhianati rakyat hanya berlaku jika PAS meninggalkan Islam. Selagi PAS bergerak dengan Islam, pengkhianatan tak mungkin berlaku walau ditinggal rakyat seluruhnya dan PAS terpaksa menunggu seratus tahun lagi untuk mendapat sokongan rakyat semula.

Perbincangan dan perdamaian adalah jalan Islam. Menutupnya atas sangkaan adalah jahil.

Kita mengimpikan kerajaan baru yang lebih baik terbentuk. Tetapi kerajaan baru 5 negeri sedia ada perlu mantap persefahamannya. Tempoh bulan madu sentiasa manis, tetapi masanya akan berakhir jua. Saat itu, ujian getir adalah lumrah walau tidak didamba kehadirannya.

Usaha mengail, mengumpan dan membuat galah melompat adalah daripada PKR. PAS mengekori seolah – olahnya. Jika berjaya, ya. Jika gagal, PAS perlu tunjukkan alternatifnya pula. Bukankah PAS adalah alternatif untuk tamadun manusiawi seluruhnya?

Bersediakah PAS dengan alternatif lebih baik?

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: