MENYELONGKAR HUBUNGAN ERAT AMERIKA DAN ISRAEL

Oleh : Muhamad Nazib Hashim

SIRI PERTAMA : PENDAHULUAN

Isu terbentuknya hubungan dan kerjasama yang akrab di antara sebuah kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan negara haram Israel telah pun menjadi suatu topik perbincangan yang hangat sejak dari dulu lagi. Ia bukan sahaja menjadi polemik di kalangan umat Islam, bahkan juga dialami oleh masyarakat barat terutama para cendekiawan dan penganalisis politik antarabangsaMasyarakat dunia tertanya-tanya bagaimanakah sebuah bangsa yang suatu ketika dahulu dibenci dan hidup merempat kini telah mendapat tempat yang istimewa di persada politik antarabangsa. Bangsa Yahudi telah terjebak di dalam peristiwa penghapusan etnik atau lebih dikenali sebagai “The Jewish Problem” yang dilancarkan oleh pemerintah Rusia pada suatu ketika dahulu. Akibat daripada peristiwa ini, maka berjuta-juta Yahudi telah terkorban dan ramai lagi yang terpaksa berpindah ke negara lain seperti Eropah Barat, Amerika Utara dan Selatan.

Rentetan daripada sejarah hitam inilah, timbulnya azam yang kuat dalam diri mereka untuk membina satu institusi pemerintahan yang bebas dan seterusnya menamatkan permasalahan Yahudi yang dialami mereka. Hasil daripada sokongan orang-orang Eropah dan Amerika, maka inilah titik mula tercapainya hasrat mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang dikenali sebagai Negara Israel.

Kemunculan negara haram Israel serta wujudnya hubungan erat yang berterusan di antara Israel dan Amerika telah mengundang pelbagai implikasi buruk terhadap perkembangan negara-negara Islam di Asia Barat seperti Palestin, Iraq, Iran, Lubnan dan Arab Saudi itu sendiri. Hal ini termasuklah persoalan-persoalan keruntuhan budaya dan akhlak umat Islam, sistem politik Islam, ekonomi dan gaya mentaliti umat Islam khususnya kepimpinan negara Islam.

 

SEJARAH HUBUNGAN

Hubungan di antara Amerika dan Israel mempunyai latar belakang sejarah yang panjang. Ia bukan sahaja berlaku selepas pembentukan negara Israel pada 14 Mei 1948, malah telah berlangsung sejak sekian lama. Menurut Cholis Akbar, seorang penganalisis politik Indonesia –hubungan antara bangsa Yahudi dan kuasa barat khususnya Amerika telah pun terbentuk secara tidak langsung sejak peristiwa pelayaran Christopher Columbus lagi. Pelayaran Columbus pada tahun 1492 itu turut disertai oleh beberapa orang Yahudi yang telah diusir oleh orang-orang Sepanyol. Situasi ini melahirkan satu perhubungan dan pergaulan yang rapat di antara mereka serta menjadi titik pertama hubungan antara bangsa Yahudi dan Barat.

Walaupun perjalanan hidup bangsa Yahudi ini amat sukar pada peringkat awalnya, namun azam dan semangat mereka yang kuat untuk membentuk sebuah institusi negara yang merdeka tidak pernah luntur. Melalui jendela Taurat, mereka percaya bahawa mereka adalah penduduk asal Palestin yang telah diusir dari bumi mereka. Mereka seterusnya melobi pengikut-pengikut Gereja Protestan di kalangan majoriti penduduk Britain, Amerika Syarikat, Belanda dan hampir separuh penduduk Jerman bagi menyokong kegiatan dan usaha mereka untuk mendapatkan tanah Palestin.

Dalam masa yang sama, pada kurun ke 19, Eropah telah mengalami satu perubahan politik yang penting. Bermula dengan peristiwa penentangan Revolusi Perancis terhadap kerajaan beraja monarki pada tahun 1789, masyarakat Yahudi ini (termasuk golongan Protestan) telah membentuk Negara Eropah Moden dengan menanam idea perkauman, semangat patriotik dan membina institusi sekular yang memisahkan agama daripada politik serta meminggirkan peranan gereja. Selain daripada itu, mereka juga mendapat kebebasan dan memperolehi segala hak sebagai warganegara khasnya di Eropah Barat. Fenomena ini memudahkan laluan mereka untuk menular masuk serta mempengaruhi masyarakat dan institusi-institusi yang ada di samping dapat merealisasikan aspirasi mereka di peringkat tertinggi melalui pengaruh politik, ekonomi dan media massa.

Kelamahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang memerintah Palestin (1516 – 1917) turut memudahkan laluan untuk kejayaan projek Yahudi – Zionis di Palestin. Kuasa Barat mengambil peluang ini dengan membahagi-bahagikan tanah Palestin sesama mereka. Sewaktu Persidangan London (1905 – 1907), idea pembentukan “Negara Kawalan” atau “Buffer State” di kawasan Palestin telah diusulkan. Di dalam pertemuan itu, satu resolusi telah dibuat iaitu membina sebuah institusi pemerintahan yang terbentuk dengan kawalan manusia yang kuat di sebelah timur Laut Mediteranean yang bermusuhan dengan orang Islam tetapi merupakan rakan kuasa Eropah serta kuat bergantung kepada mereka. Orang yang terbaik untuk melaksanakan perancangan kolonial ini ialah orang-orang Yahudi.

Motif utama perancangan barat untuk mewujudkan sebuah Negara Kawalan di tengah-tengah dunia Islam adalah untuk memisahkan perpaduan orang-orang Islam di sebelah Asia dengan Afrika. Institusi ini juga berusaha untuk mematahkan sebarang kebangkitan tamadun Islam yang kuat di situ dengan memastikan masyarakat Islam sentiasa sibuk dengan masalah permusuhan yang panjang yang menelan belanja besar serta memakan masa yang lama. Saling kebergantungan antara kuasa Barat dan rejim Zionis ini dapat dilihat daripada komitmen barat untuk menjamin kelemahan dunia Islam, perpecahan dan penderitaan mereka serta keperluan Zionis terhadap sokongan barat bagi menjamin “survival” mereka di Palestin. Maka dengan alasan inilah, mereka sentiasa menjalinkan hubungan dan kerjasama tanpa henti walaupun dalam keadaan tidak formal.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: